15 rumah terbakar, tiada kecederaan

Kegembiraan menyambut Aidilfitri bagi 45 keluarga bertukar sedih apabila rumah mereka di Kampung Muhibah Batu 2 dekat sini musnah terbakar hari ini. Kebakaran pada kira-kira pukul 12 tengah hari itu memusnahkan 15 buah rumah. Tiada kecederaan dilaporkan.

Timbalan Penguasa Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan, Ordine Gilu berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.05 tengah hari dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian. Katanya, api dapat dikawal 50 minit kemudian dan padam sepenuhnya pada pukul 1.30 petang.

Menurutnya, tiga jentera bersama 15 anggota bomba terlibat dalam operasi memadamkan api. Ordine berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – Bernama

Google papar logo khas raya-merdeka

Mereka yang melayari laman web Google hari ini menemui hadiah istimewa daripada Google Malaysia, yang memaparkan logo unik bagi meraikan sambutan berkembar rakyat Malaysia iaitu Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan.

Pelawat google.com.my akan dapat melihat logo atau “doodle” Google dihiasi ketupat dan bendera Malaysia bagi menggambarkan ’Merdeka Raya’.

“Kami gembira dapat menambah satu rekaan mengenai Malaysia yang istimewa pada senarai doodle kami, khususnya memandangkan tahun ini sambutan berganda yang amat jarang berlaku.

“Walaupun Google merupakan jenama global, kami mahu seboleh mungkin memaparkan ciri tempatan mengikut cara kami. Kami mengucapkan Selamat Hari Raya dan Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia,” kata Sajith Sivanandan, ketua negara bagi Google Malaysia dalam kenyataan.

Selama bertahun-tahun, Google menggembirakan pelayarnya menerusi logo sedemikian. – Bernama